Sunday, June 12, 2011

Kajian Al-Biruni, Al-Battani dan Abu 'l-Wafa al-Buzjani ke atas fenomena Gerhana Bulan



Gerhana Bulan Penuh merupakan sebuah fenomena langit yang cukup indah. Perubahannya amat perlahan, malah kadangkala kita tidak perasan pun sehinggalah Bulan benar-benar sudah masuk ke kawasan bayang-bayang Bumi yang gelap (umbra). Bagi saya, saat yang paling mengujakan ialah ketika sebahagian besar Bulan sudah pun berada di dalam kegelapan, namun dalam keadaan bergelap itupun, saya masih dapat lihat samar-samar permukaan Bulan. Kesamaran ini bukan sekadar bewarna kelabu atau hitam, tetapi kemerah-merahan. Ketika Malaysia mengalami kejadian jerebu yang agak teruk lebih kurang sedekad yang lalu, Bulan yang pada ketika itu sedang gerhana, terus hilang dari pandangan mata!


Di zaman sekarang, waktu munculnya bayang-bayang Bumi ini dapat dikira dengan tepat dan senang, dengan menggunakan pelbagai perisian komputer dan juga utiliti di laman-laman web. Saya sendiri menggunakan perisian seperi Skymap Pro, untuk mengira fasa-fasa penting gerhana.

Namun, kita tidak mungkin dapat memiliki begitu banyak maklumat hari ini jika tidak ada usaha yang dibuat oleh para ilmuwan terdahulu terhadap kejadian gerhana ini. Pelbagai tamadun telah pun merekod kejadian gerhana, seawal tahun 2500 SM, terutama dari tamadun China dan Babylon.

Apabila muncul ilmuwan Islam dan sumbangan besar mereka pada kurun ke-9 dan 10, kajian saintifik mereka telah dijadikan bahan rujukan oleh tamadun Barat selepas itu.

Saya tertarik dengan bacaan ringkas di laman web muslimheritages.com sebentar tadi yang mengisahkan usaha ahli falak Islam mengguna fenomena Gerhana Bulan ini untuk tujuan kajian saintifik yang cukup menakjubkan.

Al-Batani atau nama sebenar Muhammad ibn Jabir al-Harrani al-Battani, telah menghasilkan sebuah jadual astronomi terulung, iaitu al-Zij as-Sabi' . Ia mengandungi pelbagai hasil kiraan falak dan di antaranya ialah cerapan terhadap 2 kejadian gerhana matahari dan 2 kejadian gerhana bulan. Dipercayai hasil maklumat cerapan ini telah membantu saintis barat, Halley, pada tahun 1693, di dalam penemuan kejadian pecutan tidal (tidal acceleration) oleh Bulan.

Di dunia Arab, fenomena gerhana bulan ini juga telah digunakan untuk mengira perbezaan waktu tempatan di lokasi yang berlainan. Hasilnya ialah satu sistem koordinat bumi yang tepat. Di antara usaha seumpama ini ialah yang telah dilakukan oleh Al-Biruni, yang berada di bandar Kath, Khwarezm, dan Abu 'l-Wafa al-Buzjani yang berada di Baghdad. Kedua-dua mereka telah melakukan cerapan serentak dan daripada hasil perbezaan waktu gerhana ini, mereka dapat mengira perbezaan koordinat longitud kedua-dua buah bandar.

Bayangkan betapa bersungguhnya mereka di dalam kajian masing-masing, sehingga menghasilkan data yang begitu tepat dan jitu. Di zaman itu, mana ada teknologi seperti GPS atau Jam Atomik, namun mereka tetap berjaya menyumbang dan melakukan sesuatu yang menakjubkan. Dan ini semua adalah hasil daripada kajian sebuah fenomena di langit bernama Gerhana Bulan.

Nota: Gambarajah di atas merupakan keterengan fenomena gerhana bulan yang telah dibuat oleh Al-Biruni ratusan tahun dahulu. Perhatikan gambarajah yang serupa masih digunakan sehingga hari ini bagi menerangkan kejadian ini oleh ahli astronomi dunia.

Sumber: Arabic Eclipse Record Bring Light to Scientific Analysis of the Earth's Rotation. by FSTC, 18 Feb 2008

0 comments:

Post a Comment

Blog Widget by LinkWithin
 

Copyright 2008 All Rights Reserved Revolution Two Church theme by Brian Gardner Converted into Blogger Template by Bloganol dot com